Rostinah Judin

P/39 tahun



Assalammualaikum...

Nama saya Rostinah binti Judin berumur 39 tahun dan merupakan penghidap penyakit buah pinggang tahap akhir. Bagi meneruskan kehidupan, saya bergantung kepada rawatan dialisis 3 kali  seminggu untuk seumur hidup.

Saya tidak menyangka tanda muka dan kaki bengkak pada tahun 2009 adalah petanda kepada penyakit ini. Melalui ujian darah dan air kencing, doktor telah mengesahkan saya menghidap ESRF.

Pada mulanya saya tidak merasa apa-apa kerana menyangka ianya seperti penyakit biasa sehinggalah doktor menyatakan bahawa buah pinggang saya tidak akan berfungsi semula dan menerangkan rawatan yang perlu saya jalani.

Saya berasa sangat sedih dan saya pernah berusaha untuk mencari buah pinggang baru tetapi hampa kerana tiada siapa yang sudi untuk menderma apatah lagi senarai pesakit yang menunggu penderma buah pinggang  sangat ramai.

Sebelum menjalani rawatan dialisis, badan saya lemah, cepat letih, gatal-gatal pada kulit, dan cepat marah. Pada mulanya, saya mendapatkan rawatan dialisis di NKF-Muis dan selepas setahun barulah saya berpindah ke Persatuan Hemodialisis Kinabalu, Sabah (PHKS).

Di PHKS suasananya amat selesa, selera makan saya juga semakin bertambah baik dan rasa letih berkurangan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua staf yang banyak memberi sokongan moral dan nasihat kepada saya.