Chong Chin Cheong

L/65 tahun

Saya, Chong Chin Cheong berumur 65 tahun. Pada tahun 2011, saya disahkan mengalami kegagalan buah pinggang. Banyak masalah yang saya alami seperti  tekanan darah tinggi, bengkak pada kedua-dua kaki, sesak nafas, darah dalam air kencing, buasir dan selalu pening. Saya mengambil ubat herba untuk mengubat masalah buasir.

Saya disahkan mengalami masalah kegagalan buah pinggang oleh doktor yang merawat saya ketika dimasukkan ke Sabah Medical Centre (SMC) pada tahun 2011 kerana masalah sesak nafas. Apabila keputusan ujian darah dan imbasan keluar saya memang mengalami kegagalan buah pinggang.

Pada mulanya saya tidak dapat menerima apa yang berlaku ke atas diri saya. Tetapi akhirnya saya terpaksa menerima keadaan saya sekarang ini. Saya disarankan untuk menjalani rawatan dialisis seumur hidup saya untuk meneruskan kehidupan ini. Pada mulanya memang sukar untuk melakukan rawatan dialisis kerana terpaksa menahan sakit apabila jarum dicucuk ke dalam urat saya dan menunggu 4 jam untuk menghabiskan rawatan dialisis. Tetapi lama-kelamaan semua itu menjadi biasa bagi saya.

Selepas menjalankan rawatan dialisis tiga kali seminggu, saya dapat merasakan perubahan  dalam kesihatan saya. Sekarang saya boleh melakukan kerja-kerja di dalam rumah dengan  lancar. Saya tidak lagi tertekan memikirkan penyakit yang saya alami kerana dapat menjalani rawatan dialisis untuk menjadikan kesihatan saya lebih baik. Masalah pening dan sesak nafas berkurangan sedikit walaupun menyerang sekali-sekala apabila terminum banyak air. Sekarang, selera makan saya semakin baik. Bagi saya perkhidmatan rawatan dialisis di Persatuan Hemodialisis Kinabalu, Sabah (PHKS) adalah  memuaskan kerana layanan yang baik dan kos rawatannya di dalam kemampuan saya. Saya akan terus menjalani rawatan dialisis untuk meneruskan hidup bersama keluarga saya.